Di dalam bab ini, kamu akan mengenali planet Bumi ini dengan lebih baik. Kamu akan memahami kepentingan bentuk Bumi ini dan biru langit kepada hidup kita. Kamu juga berpeluang untuk mempelajari bahawa sistem-sistem sempurna yang kamu saksikan telah dijadikan Allah semata-mata untuk membolehkan kita hidup.
Keseimbangan Sempurna Bumi
Sehingga abad keenam belas, iaitu 500 tahun dahulu, walaupun sebahagian bangsa Yunani telah memikirkannya, secara umumnya manusia masih tidak mengetahui Bumi ini adalah sebuah planet. Pemerhatian yang dilakukan pada masa tersebut membantu manusia mengetahuinya. Pada abad ke-20, manusia telah pasti kedudukan Bumi di dalam Sistem Suria. Bumi adalah planet ke tiga jauhnya daripada matahari dan planet kelima terbesar.
|
Pakar sains percaya Bumi mempunyai kerak besi yang mempunyai suhu 7,500°C. Ia jauh lebih panas daripada suhu permukaan matahari. Tetapi, disebabkan kamu tidak pernah merasa sedikit pun daripada kepanasan ini, kamu dapat duduk di dalam kelas kamu sambil mendengar guru kamu atau tidur dengan nyenyak di atas katil. Lapisan kulit Bumi menghalang kita daripada kepanasan ini. Allah Maha Pengasih kepada kita kerana itu Dia menjadikan lapisan Bumi yang cukup tebal untuk menghalang kepanasan ini menembusinya. Di samping itu, Allah juga menjadikan kita atmosfera yang mesra alam. Dia juga memberikan tumbuh-tumbuhan beberapa ciri yang membolehkannya mengekalkan keseimbangan oksigen-karbon dioksida.
Suhu dalaman Bumi mencapai setinggi 7,500°C tetapi di permukaan Bumi kita tidak pernah merasa kepanasan ini. |
Struktur Bumi dan beberapa keseimbangan lain menunjukkan Bumi telah direka khusus untuk manusia tinggal di dalamnya.
Daripada atmosfera ke geografinya, daripada jaraknya daripada matahari kepada semua bentuk keseimbangan, Bumi adalah sebuah planet yang dijadikan khas untuk menampung hidupan. Contohnya, kita dapat menyamakan Bumi kita dengan akuarium. Sebuah akuarium menyediakan keadaan-keadaan paling sesuai untuk ikan. Sebuah termostat mengawal suhu air, terdapat satu motor untuk mengalirkan udara dan pasir yang ditempatkan di bahagian bawah. Terdapat pil khas diletakkan di dalam air, terdapat penutup pelindungan akuarium, satu sistem penapis yang berterusan menapis air, dan pembekal makanan… Semua ini menampung hidup ikan-ikan di dalam akuarium.
Bagaimanapun, ikan-ikan di dalam akuarium tidak menyedari persekitaran buatan ini. Mereka menyangka mereka hidup di "alam semula jadi" atau alam yang terbentuk secara spontan. Mereka tidak menyedari ada orang yang menyediakan termostat dan mengawal paras air atau fungsi motor pengalir udara. Mereka juga tidak tahu siapa yang memberikan makanan yang muncul tiba-tiba di permukaan air. Sedangkan, puncanya adalah jelas; pemilik akuarium tersebut yang telah memberikan keperluan ikan-ikan tersebut.
Sudah tentu, kehidupan di Bumi memerlukan sistem yang lebih rumit daripada kehidupan di dalam sebuah akuarium.
Menyimpan ikan di dalam sebuah akuarium memerlukan penjagaan yang teliti. Atmosfera memberikan penjagaan ini kepada Bumi. |
Seorang yang bijak tidak akan mensia-siakan hidupnya di dalam kejahilan seperti ikan-ikan di dalam sebuah akuarium. Dia percaya Bumi "sedia ada" untuknya dan ia tidak mempunyai satu Pencipta dan Pentadbir. Sudah tentu, Allah yang telah menjadikan keseimbangan dan aturan yang sempurna yang memungkinkan kehidupan di Bumi. Manusia yang bijak mahu mengenali Tuhan yang memberikan segala kenikmatan ini kepadanya dan untuk mempelajari apakah yang dituntut-Nya daripadanya. Di dalam Al-Quran, Allah membenarkan kita mengenali-Nya dan memaklumkan kepada kita apa yang dituntut-Nya daripada kita.
Jelaslah, Allah menjadikan keseimbangan dan aturan yang sempurna untuk memungkinkan kehidupan di dunia. Allah memberitahu kita tentang perkara ini di dalam Al-Quran:
Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya. (Surah Al-Anbiyaa':31-32)
Allah mencipta, mengimbangi, dan mengharmonikan setiap perkara di Bumi untuk menjadikannya tempat untuk kita diami. Sesiapa yang menyedari fakta ini mesti beriman dengan Allah, menyaksikan kuasa tidak terbatas-Nya dan bersyukur untuk setiap apa yang telah diberikan-Nya kepadanya.
Sekarang, mari kita kaji beberapa keseimbangan yang Allah, Pencipta kita jadikan di planet kita dan menyaksikan kekuatan-Nya yang tidak terbatas.
Kedudukan Bumi Di Dalam Cakerawala ini
Apa akan berlaku jika Bumi kita ini berada sedikit lebih hampir kepada matahari? Jawapannya sudah jelas, semua orang tahu kepanasan matahari boleh membakar. Disebabkan oleh kepanasan melampau ini juga, kita tidak akan mempunyai atmosfera atau lautan seperti sekarang… Suhu akan menjadi terlalu tinggi menyebabkan kebanyakan air di Bumi akan mengewap. Dalam keadaan ini, tidak akan ada air lagi di Bumi. Bumi akan menjadi kering seperti gurun.
Contohnya, di dalam bab terdahulu kami telah sebutkan bahawa planet Zuharah berada lebih hampir dengan matahari daripada planet kita. Oleh itu, suhu planet Zuharah lebih tinggi daripada Bumi. Suhunya boleh meningkat sehingga 475°C. Untuk menggambarkan ketinggian suhu ini, fikirkan apabila kamu meletakkan sedikit air di dalam plat logam yang panas, ia akan mendidih pada suhu 100°C.
J ika matahari sedikit hampir kepada planet kita, Bumi akan terbakar seperti sebuah gurun, seperti yang ditunjukkan oleh gambar di atas. Jika matahari lebih jauh, maka Bumi akan diseliputi oleh ais, seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di sebelah kanan. |
Sekarang fikirkan sebaliknya. Bagaimana jika Bumi sedikit lebih jauh daripada matahari? Dalam keadaan ini, Bumi kita akan menerima kurang kepanasan. Bayangkan jika keadaan ini berlaku, sebahagian besar daripada Bumi akan beku dan bertukar menjadi ais. Permukaan Bumi akan menjadi seperti permukaan Marikh yang kering dan berais, iaitu sebuah planet yang jauh sedikit daripada matahari daripada Bumi. Kita dapat membuat kesimpulan daripada keadaan-keadaan ini: Bumi kita terletak pada tempat yang paling tepat! Bagaimana ini berlaku? Apakah secara kebetulan Bumi ini berada pada tempat yang betul? Sudah tentu tidak. Bumi adalah planet yang mati dan tidak bernyawa. Sudah tentu mustahil untuknya memilih tempat yang paling sesuai sendiri, atau secara kebetulan. Fakta Bumi berada pada kedudukan paling sesuai adalah petanda kesempurnaan ciptaan Allah.
|
Penemuan astronomi terkini telah membuktikan kepentingan wujudnya planet-planet lain kepada Bumi. Contohnya, saiz Musytari dan kedudukannya adalah mustahak. Sebagai sebuah planet paling besar di dalam sistem ini, Musytari menjadikan orbit Bumi lebih stabil.
Jika sebuah planet yang besar seperti Musytari tidak ada, Bumi akan menjadi sasaran meteor dan komet yang berselerak di angkasa. Ringkasnya, Musytari adalah seperti sebuah perisai yang melindungi Bumi. Jika Musytari berada di orbit lain, planet kita dan kita sendiri tidak akan wujud hari ini.
Seorang bijak yang mengetahui semua ini, memahami bahawa tidak ada sesuatu pun di dalam cakerawala ini dijadikan tanpa tujuan. Kefahaman ini diceritakan di dalam Al-Quran seperti berikut:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Surah Ali 'Imran:190)
Seperti yang disebutkan di dalam ayat ini, kita perlu memikirkan penciptaan langit dan bumi. Apa yang telah kamu pelajari daripada buku ini menggambarkan penciptaan Allah terhadap alam ini. Apabila kamu memikirkan pengetahuan ini, kamu akan dapat pemahaman lebih baik tentang kekuasaan Allah.
Disebabkan tarikan graviti Musytari lebih kuat daripada Bumi, meteor-meteor bertaburan di angkasa akan tertarik ke Musytari. Ini seperti tarikan satu magnet yang kuat. Tarikan kuat Musytari ini melindungi Bumi, dan juga kita, daripada ancaman-ancaman ini. |
Bentuk Bumi Kita Di Dalam Al-Qur'an
Adik-adik, kamu tahu Bumi kita ini berbentuk bulat. Terima kasih kepada teknologi yang telah mendedahkannya, kenyataan ini juga dapat dilihat di dalam gambar fotografi yang diambil daripada angkasa. Al-Quran yang Allah turunkan kepada kita 1,400 tahun dahulu memberikan beberapa kenyataan yang membimbing ahli sains Muslim memahami Bumi ini bulat:
Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya)... (Surah Az-Zumar:5)
"Takwir" perkataan yang digunakan untuk "melingkari", di dalam bahasa Arab, bererti "menutup sesuatu sebagai penutup". Maklumat yang diberikan di dalam ayat ini tentang malam melingkari siang, takwir juga menyebabkan seseorang berfikir dunia ini adalah sebuah glob.
Bagaimanapun, sebelum itu manusia percaya Bumi ini bukan bulat tetapi sama rata. Semua kiraan dan penjelasan pakar sains berdasarkan kepada pendekatan salah ini. Ketika itu, manusia sangat jahil tentang angkasa sehinggakan ada yang percaya dengan kepercayaan pelik bahawa Bumi ini berada di antara dua tanduk lembu jantan.
Adik-adik, kamu telah mengetahui bahawa maklumat-maklumat yang hanya para pakar sains peroleh berabad-abad selepas Al-Quran diturunkan, telah pun diceritakan Allah di dalam Al-Quran sejak lama dahulu. Ini adalah salah satu bukti nyata Al-Quran adalah Kalam Allah, Yang telah menjadikan seluruh alam ini dan Yang mengetahui segala perkara.
Suhu Bumi
Adik-adik, tahukah kamu suhu biasa di angkasa? -270°C! Suhu seperti ini menjadikan hidupan mustahil. Suhu biasa Bumi kita ialah di antara 15°C dan 20°C. Suhu ini berubah apabila seseorang naik ke lapisan atmosfera yang lebih tinggi.
Contohnya, benua Afrika adalah sebuah kawasan panas. Apa kata jika kami bertanya kepada kamu, "Bolehkah kamu membuat orang salji di Afrika?". Kamu sudah tahu jawapan kamu. Mungkin kebanyakan kamu akan menjawab, "Untuk membuat orang salji, kamu memerlukan salji. Disebabkan mustahil untuk mendapatkan salji di kawasan panas, tidak mungkin kita dapat membuat orang salji". Tetapi, kamu salah, kerana kamu boleh membuat orang salji di benua Afrika bila-bila masa yang kamu suka, walaupun ia dikenali sangat panas. Untuk melakukannya, kamu perlu memanjat gunung Kilimanjaro, yang mempunyai kemuncak tertinggi di benua tersebut. Bahagian atas gunung ini, yang berada agak tinggi daripada paras laut, sentiasa diliputi salji. Kerana, apabila bergerak ke atas dari bawah, suhu akan menurun. Suhu jatuh hampir ke -50°C di dalam lapisan atmosfera yang dinamakan "stratosfera". Apabila naik lebih tinggi, cuaca menjadi panas semula. Terima kasih kepada perlindungan yang Allah berikan kepada kita, tidak ada perbezaan suhu yang ketara di Bumi.
Pengekalan suhu ini bergantung kepada jumlah kepanasan yang matahari pancarkan begitu juga dengan jarak di antara Bumi dan matahari. Di dalam bab lepas, kita telah menyentuh topik ini. Kami akan membincangkan topik ini dengan terperinci di sini. Berdasarkan kiraan, penurunan 10 peratus sahaja daripada tenaga yang diberikan matahari boleh menyebabkan permukaan Bumi diliputi lapisan-lapisan ais setebal beberapa meter. Tetapi, jika tenaga matahari ditingkatkan sedikit, semua hidupan akan terbakar dan mati.
Disebabkan wujudnya berbagai ketinggian di Bumi, pada satu ketinggian manusia dapat berenang dan berjemur, sementara pada ketinggian yang lebih tinggi di kawasan yang sama mereka boleh bermain bola salji dan meluncur. |
Kelajuan putaran Bumi juga membantu suhu berada di dalam keadaan seimbang. Bumi melakukan satu putaran setiap 24 jam. Kerana itu, jangka masa siang dan malam adalah pendek. Kerana ia pendek, perbezaan suhu di antara siang dan malam adalah kecil.
Kepentingannya dapat dilihat di dalam contoh Utarid, di mana sehari berlangsung selama setahun dan perbezaan di antara suhu waktu siang dan malam ialah 1,000°C.
Geografi juga membantu mengimbangi kepanasan di Bumi. Perbezaan di antara kawasan kutub dan khatulistiwa di Bumi ialah kira-kira 100°C. Jika perbezaan seperti ini berlaku di satu tempat yang sama, hasilnya ialah angin liar yang akan menyapu apa sahaja yang berada di hadapannya.
Sebaliknya, Bumi dipenuhi rintangan-rintangan geografi yang menghalang pergerakan angin besar yang boleh menyebabkan perbezaan suhu berlaku. Rintangan-rintangan itu ialah rantaian gunung-ganang seperti yang menganjur dari barat ke timur, bermula dengan Himalaya di China dan bersambung dengan gunung-ganang Taurus di Anatolia dan Alps di Eropah. Kita telah mempelajari bagaimana Bumi kita mengekalkan suhunya, walaupun suhu di angkasa lepas ialah sekitar -270°C. Jika suhu Bumi terlalu sejuk atau terlalu panas, yang menjadi ancaman kepada manusia, kita tidak akan hidup. Oleh itu, paras suhu yang sederhana adalah rahmat Allah. Balasan kepada rahmat-Nya, kita hendaklah mensyukuri Allah, Yang telah menjadikan keadaan paling sempurna untuk hidup kita. Ini adalah perkara paling penting yang mesti kita ingat.
Berapa besarkah Bumi dan bagaimana Allah melindungi Bumi kita daripada objek-objek angkasa yang lain?
Di dalam bahagian berikutnya, kami akan menjawab soalan ini…
Rantaian gunung-ganang yang merentangi Bumi mencegah ribut-ribut ganas di kawasan kutub daripada menghasilkan kekacauan di Bumi, dan membantu mengekalkan suhu planet ini di dalam keadaan seimbang. |
Saiz Bumi Dan Perlindungannya Daripada Objek-Objek Angkasa Lain
Jika kamu masih ingat di dalam bahagian awal, kami telah menyebutkan tentang berbagai saiz planet-planet.
Sekarang kita bandingkan Bumi kita dengan planet-planet lain dari segi saiz. Kita mulakan dengan membuat perumpamaan berikut: Bayangkan Bumi kita sebagai sebiji kacang hijau. Dalam keadaan ini, Utarid adalah sebiji biji bijan, Zuharah adalah sebiji kacang hijau seperti Bumi kita, Marikh sebiji biji tembikai, Musytari sebiji oren, Zuhal adalah sebiji buah limau, Uranus dan Neptun adalah buah ceri, dan Pluto adalah biji bijan. Matahari pula adalah sebiji bola yang lebih besar daripada sebiji bola keranjang di bandingkan dengan kacang hijau kita.
Adakah saiz Bumi dibandingkan dengan planet-planet lain "secara kebetulan"? Atau, disengajakan?
Jika kita mengkaji saiz Bumi, kita akan dapati planet kita telah direka menjadi sebesar ini.
Jika Bumi sedikit kecil, graviti menjadi lemah dan menjadikannya terlalu lemah untuk menahan atmosfera di sekelilingnya. Tanpa atmosfera ini, dunia kita akan terdedah kepada meteor dan sinaran bahaya daripada angkasa. Tambahan pula, kehilangan oksigen menyebabkan hidupan mati. Jika Bumi terlalu besar, tarikan graviti akan bertambah dengan hebatnya, menukarkan atmosfera ini menjadi satu campuran bahaya kerana ia mengandungi gas-gas beracun.
Di samping jirimnya, dalaman Bumi juga telah direka khas. Lapisan-lapisan kerak bergerak mengelilingi antara satu sama lain, dan pergerakan ini menghasilkan medan magnet bumi. Medan magnet ini mempunyai peranan penting dalam memelihara hidupan. Terletak jauh daripada permukaan Bumi, medan ini melindungi Bumi daripada kesan sinaran bahaya daripada angkasa.
Setiap benda yang dihasilkan oleh seorang tukang kasut, tukang kayu atau tukang tembaga adalah satu rekaan istimewa kepada tukang-tukang ini. Mereka merancang setiap peringkat kerja mereka dan melakukan ukuran dengan cermat. Tiada siapa dapat mendakwa bahawa hasil kerja seni ini telah muncul secara spontan, tanpa rekaan atau perancangan. Begitu juga, adalah tidak masuk akal untuk mendakwa bahawa berbilion-bilion galaksi, planet-planet dan bintang-bintang di dalam alam ini telah wujud secara spontan. |
Penemuan saintifik lain menunjukkan kepada kita alam ini tidak ditinggalkan begitu sahaja. Sebaliknya, Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Pencipta, mengawal seluruh alam, dan menjadikan dan menahan galaksi-galaksi, bintang-bintang dan planet-planet di bawah kekuasaan-Nya.
Planet biru yang kita diami ini adalah ciptaan istimewa Allah. Di dalam Al-Quran, Allah menggambarkan ciptaan hebat ini di dalam ayat ke-2 surah Al-Furqan dengan kata-Nya: "... dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna." Mungkin kenyataan ini menjadikannya jelas, seperti ayat-ayat lain di dalam Al-Quran, bahawa di planet ini, Allah menjadikan segala yang diperlukan manusia.
Adik-adik, mulai sekarang kita akan menjelajahi Bumi. Mula-mula, kita kaji punca mengapa Allah menjadikan lautan biru dan pelajari nikmat yang diberikan kepada kita.
Lautan
71 peratus permukaan Bumi dipenuhi air. Bumi adalah satu-satunya planet yang airnya berada di dalam bentuk cecair. Air berkumpul di dalam lubang besar yang membentuk lautan, yang amat penting kepada kehidupan manusia.
Contohnya, ia mencegah kepelbagaian di dalam suhu atmosfera dan membantu hidupan hidup pada kadar suhu yang stabil. Ia juga melembutkan iklim. Tambahan pula, lautan membentuk pantai-pantai melalui hakisan. Tidak ada planet lain yang mempunyai sistem seperti ini.
Makanan laut yang enak adalah di antara nikmat yang telah Allah jadikan untuk kita di dalam laut. |
Lebih dari itu, lautan juga menawarkan berbagai jenis ikan dan makanan laut kepada kita. Memakan makanan laut yang lazat, berenang di dalam laut dan mengembara dengan bot adalah nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita.
Adik-adik, Allah telah menjadikan semua yang kita perlukan dengan sempurna. Di samping benda-benda yang indah ini, terdapat juga perkara-perkara berbahaya seperti gunung berapi yang kadangkala meletup, walaupun selalunya ia tidak bergerak. Sekarang kita akan tumpukan perhatian kepada gunung berapi.
Gunung Yang Menyemburkan Magma
Kerana magma, atau batu cair, di bawah lapisan bumi berada dalam bentuk cecair, ia sering mencari jalan keluar melalui rekahan-rekahan di lapisan Bumi dan akhirnya akan meledak. Kejadian menakutkan ini dinamakan letupan gunung berapi.
Selalunya dengan satu letupan yang hebat, gunung berapi meledak memuntahkan bertan-tan debu dan abu ke atmosfera. Letupan ini membentuk awan-awan hitam yang besar di langit. Kemudian magma mula mengalir di permukaan Bumi, menyapu bersih hutan dan bandar-bandar.
Magma yang mengalir daripada gunung berapi ke Bumi dinamakan "lava". Tidak lama kemudian, lava akan menjadi sejuk di atas permukaan Bumi dan menjadi keras, membentuk batu-batu. Sepanjang sejarah, banyak bandar-bandar musnah kerana bencana seperti ini. Contohnya, pada abad pertama, letupan gunung berapi telah melenyapkan bandar Pompeii, sebuah bandar Rom yang makmur, daripada muka bumi ini. Kejadian itu terlalu mengejutkan sehinggakan mereka tidak berpeluang untuk melarikan diri. Lava sampai ke bandar Pompeii dan menimbus seluruh bandar, menyebabkan semua penduduknya mati.
Ledakan gunung berapi menunjukkan bahawa dalaman planet kita adalah panas. Jika Bumi tidak berada di bawah perlindungan Allah, kita terpaksa menghadapi letupan-letupan gunung berapi yang hebat. |
Tiada satu nyawa pun selamat; penduduk Pompeii, yang dikenali dengan keingkaran mereka terhadapan suruhan Allah dan tidak berakhlak, telah mati serentak. Kematian yang tidak dapat dielakkan adalah mirip dengan kaum yang digambarkan di dalam Al-Quran seperti berikut:
Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (Surah Al-'Ankabut:40)
Adik-adik, ayat ini menunjukkan bahawa Allah mempunyai kuasa ke atas semua benda dan Dia boleh memusnahkan apa sahaja di Bumi jika Dia mahu. Tiada siapa selamat daripada hukuman-Nya. Bagaimanapun, Allah juga sangat Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Di dalam buku ini, kita telah melihat banyak bukti kasih sayang Allah yang tidak terbatas. Letupan gunung berapi yang hanya berlaku kadang-kadang ini adalah satu lagi nikmat Allah jika kita dapat memikirkannya.
Atmosfera
Adik-adik, pernahkah anda terfikir apa yang sedang berlaku di langit apabila kamu melihat ke atas? Kami pasti kamu semua pasti ingin tahu tentangnya. Mari kita tumpukan perhatian kita ke langit!
Lapisan udara di sekeliling langit dikenali sebagai "atmosfera". Atmosfera terdiri daripada tujuh lapisan. Setiap lapisan terdiri daripada gas-gas berbeza, semuanya berada di dalam keadaan harmoni.
"Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat- tingkat" (Surah Nuh:15) |
Di dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa Dia membahagikan langit ini kepada tujuh:
Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. (Surah Fussilat:12)
Perkataan "samaawaat" yang digunakan di dalam banyak ayat al-Quran bererti langit. Ia juga merujuk kepada berbeza kedalaman angkasa seperti juga dengan langit Bumi. Jika kita mengambil kira pengertian kedua, ia menunjukkan di dalam ayat ini bahawa langit Bumi iaitu atmosfera terdiri daripada tujuh lapisan. Sudah tentu ada maksud lain ayat ini, tetapi amat menarik apabila kami mengkaji langit, kami mendapati ia terdiri daripada tujuh lapisan:
Troposfera (Troposphere): Ini adalah bahagian paling hampir dengan permukaan Bumi. Ketebalan lapisan ini berubah-ubah berdasarkan kepada iklim. Suhu akan menurun apabila ketinggian bertambah, dan suhu ketinggian paling tinggi adalah sekitar -51°C dan -79°C.
Stratosfera (Stratosphere): Lapisan di atas troposfera. Suhu bertambah apabila seseorang naik ke atas.
Mesosfera (Mesosphere): Lapisan di atas stratosfera. Di sini, suhu jatuh kepada -73°C.
Termosfera (Thermosphere): ini adalah lapisan di atas mesosfera. Suhu meningkat pada kadar perlahan. Perbezaan suhu di antara siang dan malam lebih 100°C.
Eksosfera (Exosphere): Lapisan yang bermula pada ketingian 500 kilometer (310 batu) di atas permukaan Bumi.
Ionosfera (Ionosphere): Gas-gas di dalam kawasan ini ditemui dalam bentuk ion. Gas-gas ion ini memberikan lapisan ini namanya.
Magnetosfera (Magnetosphere): Disebabkan medan magnet Bumi terletak di sini, ia dikenali sebagai Magnetosfera. Lapisan ini yang bertindak sebagai perisai perlindungan, terletak kira-kira 3,000 dan 30,000 kilometer (1,850 dan 18,500 batu) di atas permukaan Bumi. Seperti yang kami terangkan sebelum ini, kawasan ini yang melindungi Bumi daripada pancaran bahaya dari angkasa, ia digelar lingkungan Van Allen.
Untuk memahami dengan lebih baik kepentingan atmosfera kepada kita, biar kita lihat planet-planet lain. Katakanlah kita berada di atas planet Utarid. Tidak ada atmosfera di atas planet ini. Bagaimanapun, atmosfera amat penting kepada kehidupan. Setakat ini, kami telah menyebutkan kepentingan gas-gas di dalam atmosfera, seperti gas oksigen, atau ciri-ciri perlindungan atmosfera. Bagaimanapun, terdapat juga berat atmosfera, yang penting untuk kehidupan manusia.
Setiap satu daripada tujuh lapisan yang terdapat di dalam atmosfera Bumi mempunyai kepekatan dan fungsi yang berbeza. Allah, yang menjadikan atmosfera yang membolehkan planet kita boleh dihuni, juga telah menjadikan satu perisai perlindungan untuk Bumi. |
Atmosfera diperbuat daripada udara ringan.
Ini tidak bererti atmosfera tidak mempunyai berat. Sebenarnya, lapisan-lapisan ini yang tebalnya beberapa kilometer yang berada di atas kita adalah sangat berat.
Berdasarkan penyelidikan, atmosfera memberikan tekanan bertan-tan berat pada tekanan di atas setiap kita. Ia digelar "tekanan udara". Sekarang kamu boleh mengemukakan soalan, "Mengapa kita tidak hancur?". Kita tidak hancur kerana tubuh kita dijadikan dengan kekuatan untuk menahan berat atmosfera. Kita tidak akan hidup atau wujud di dalam persekitaran yang mempunyai tekanan udara rendah. Kerana, tanpa tekanan ini, aliran darah di dalam badan kita akan memberikan tekanan yang kuat di dalam pembuluh darah kita. Melainkan diimbangi oleh tekanan atmosfera, pembuluh darah kita akan pecah pada tekanan yang tinggi ini.
Oleh itu, adalah mustahil untuk manusia hidup di dalam persekitaran seperti Utarid, yang tidak mempunyai atmosfera.
Terdapat satu atmosfera di planet Zuharah. Kerana tekanan di Zuharah adalah sembilan puluh kali lebih hebat daripada tekanan di atmosfera Bumi, ia tidak menyediakan keadaan yang sesuai untuk kehidupan manusia. Daripada maklumat ini, kita faham bahawa tiada kehidupan yang wujud di atas planet Zuharah kerana di bawah tekanannya semua hidupan akan hancur.
Mari kita lihat kembali fakta-fakta yang telah kita sebut tadi: Atmosfera adalah salah satu keperluan untuk hidup di Bumi. Atmosfera mempunyai berbagai fungsi, sebahagiannya telah diterangkan secara ringkas di atas. Jika kamu masih ingat, salah satunya ialah kepentingan gas-gas yang membentuk atmosfera untuk kehidupan manusia. Jika atmosfera tidak wujud, hidupan tidak dapat hidup, dan kerana itu, tidak akan ada hidupan di Bumi.
| UVB (Medium-wavelength Ultraviolet Radiation/Sinaran Ultra Ungu Jarak Sederhana) 70 peratus daripada sinaran UVB matahari diserap oleh atmosfera. UVC (Short-wavelength Ultraviolet Radiation/ Sinaran Ultra Ungu Jarak Pendek) 100 peratus sinaran UVC matahari diserap oleh atmosfera. |
Atmosfera kita melindungi planet kita daripada meteor-meteor dan pancaran bahaya matahari. Cahaya ultra ungu yang sampai ke Bumi telah ditapis oleh atmosfera. |
Fungsi lain atmosfera ialah untuk memelihara Bumi kita daripada ancaman-ancaman dari angkasa lepas, seperti meteor. Atmosfera menghalang meteor daripada jatuh ke Bumi dan merosakkannya.
Atmosfera juga menghalang sinaran bahaya daripada angkasa. Terima kasih kepada atmosfera, hanya 7 peratus daripada sinaran bahaya ini sampai ke Bumi. Ini satu lagi topik untuk difikirkan: Sinaran yang mampu membantu hidupan di Bumi ialah sinaran yang diterima oleh Bumi. Kamu tentu masih ingat, jarak di antara Bumi dan matahari adalah tepat, tidak terlalu jauh dan tidak terlalu dekat.
Adik-adik, bolehkah atmosfera yang amat penting kepada kehidupan kita ini, terbentuk dengan sendirinya, secara kebetulan?
Satu perumpamaan yang membuktikan bahawa ia adalah mustahil, seperti berikut: Fikirkan tentang kek manis yang lazat. Apakah yang memberikan kek ini kelazatannya? Sudah tentu kerana ibu kamu telah mencampurkan ramuan dengan kadar yang tepat ke tepung, menguli adunan dengan baik dan kemudian membakarnya pada suhu yang tepat. Apakah kamu akan percaya seorang yang menyatakan, "Kamu tidak perlukan ibu kamu untuk kek-kek yang sedap ini; mereka dapat masak dengan sendirinya secara spontan?" Sudah tentu kamu akan mendapati ia tidak masuk akal. Dalam keadaan ini, bolehkah atmosfera di sekeliling kamu wujud secara spontan? Kita telah sedia maklum ia adalah mustahil.
Adakah kamu akan percaya jika kamu diberitahu bahawa kek lazat yang kamu sukai itu telah muncul secara spontan? Mengetahui ibu kamu yang membuat kek ini, kamu akan dapati pendapat ini tidak masuk akal. Begitu juga, alam ini tidak dapat wujud secara tidak sengaja, kerana ia mempunyai Pereka dan Pencipta. |
Orang yang mengetahui perkara ini akan berkata seperti berikut apabila dia melihat ke langit, "Kalaulah Allah tidak menjadikan atmosfera, sudah tentu mustahil untuk hidup di Bumi". Atau, dia akan berfikir sendiri, "Allah Maha Kuasa, jika Tuhan kita tidak melindungi Bumi kita, meteor gergasi akan melanggar Bumi dan memusnahkannya sama sekali". Kamu boleh mempertimbangkan maklumat-maklumat yang telah kamu pelajari ini dengan cara yang sama. Ini juga satu cara untuk menunjukkan kesyukuran kamu kepada-Nya.
Kesesuaian Atmosfera Untuk Hidup
Atmosfera Bumi telah dilengkapi dengan semua ciri-ciri keperluan untuk hidup. Sekarang, mari kita gambarkan struktur istimewa atmosfera kita.
Atmosfera Bumi mengandungi 77 peratus nitrogen, 21 peratus oksigen dan 1 peratus karbon dioksida, argon dan gas-gas lain. Mari kita mulakan dengan mengkaji oksigen.
Oksigen amat penting untuk hidup, kerana tenaga yang diperlukan untuk hidupan diperoleh melalui proses-proses kimia yang kebanyakannya berlaku melalui oksigen. Kerana itulah kita sentiasa memerlukan oksigen dan sentiasa bernafas untuk memenuhi keperluan oksigen.
Paras oksigen di dalam atmosfera juga bersesuaian untuk hidup. Jika nisbah ini ialah 22 peratus bukan 21 peratus, sedikit kilat sahaja sudah mencukupi untuk membakar seluruh hutan. Jika nisbah ini ialah 25 peratus, api besar akan membakar Bumi, kerana oksigen adalah sejenis gas mudah terbakar.
Jika nisbah oksigen di dalam atmosfera adalah 22 peratus bukan 21 peratus, atmosfera ini mungkin terbakar dan memberikan ancaman besar kepada hidupan di Bumi. |
80 peratus oksigen di dalam atmosfera dihasilkan oleh organisma-organisma mikroskopik laut seperti yang dapat dilihat di dalam gambar di atas. |
Kamu mungkin tertanya-tanya: Apa berlaku jika semua oksigen di Bumi digunakan? Walaupun menghadapi pencemaran yang hebat pada abad lepas, tetapi ia tidak menjadi ancaman, kerana lebih 80 peratus oksigen yang dihasilkan di Bumi ini telah dihasilkan oleh organisma-organisma mikroskopik di dalam lautan. Jadi, walaupun semua hutan hilang, masih ada oksigen di dalam atmosfera.
Satu sistem sempurna telah mengekalkan kandungan oksigen di dalam atmosfera. Ia dikenali sebagai sistem kitar semula. Haiwan dan manusia menggunakan oksigen dan menghasilkan karbon dioksida. Tumbuh-tumbuhan pula, sebaliknya, menggunakan karbon dioksida dan menghasilkan oksigen. Mereka mengekalkan kesinambungan hidupan dengan menukarkan karbon dioksida kepada oksigen. Setiap hari, berbilion tan oksigen dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan dan dilepaskan ke dalam atmosfera.
Satu fakta yang perlu diberikan perhatian di sini. Mengapa hanya tumbuh-tumbuhan sahaja yang menghasilkan oksigen? Bukankah hidup lebih mudah jika semua hidupan menghasilkan oksigen?
Tidak, sudah tentu tidak! Hidup tidak menjadi lebih mudah. Sebaliknya, jika haiwan dan manusia juga menghasilkan oksigen, nisbah oksigen di dalam atmosfera akan meningkat dengan banyaknya sehingga atmosfera akan menjadi "mudah terbakar" dalam masa yang singkat. Akibatnya, satu percikan api boleh menyebabkan kebakaran besar.
Sebaliknya, jika semua hidupan, termasuk tumbuh-tumbuhan, menghasilkan karbon dioksida, oksigen di dalam atmosfera akan cepat digunakan dan hidupan akan mati "kelemasan" dalam jumlah yang besar, kerana sudah tidak ada oksigen untuk bernafas.
Adik-adik, seperti yang kamu lihat, selain daripada melindungi kita, atmosfera juga memelihara oksigen yang kita perlukan untuk bernafas. Allah telah menjadikan banyak sistem-sistem yang berkaitan untuk mengekalkan kadar oksigen dalam keadaan stabil. Kerana itu, Allah telah menjadikan banyak keseimbangan halus. Ia terlalu mudah bagi Allah.
Sentiasa ingat, setiap nafas yang kamu ambil tanpa kesulitan adalah satu sebab untuk berterima kasih kepada Allah. Kerana, jika Allah tidak menghendakinya, sudah tentu tidak akan ada atmosfera atau oksigen.
Awan-awan Yang Terapung
Apabila kita melihat ke langit, kita akan melihat awan-awan putih atau kelabu yang kelihatan gumpalan-gumpalan kapas. Kadangkala kita fikir ia mirip dengan objek-objek tertentu bukan? Pernahkah kamu terfikir bagaimana awan wujud? Sekarang, mari kita lihat bagaimana.
Setiap hari, kepanasan matahari menyebabkan air di permukaan Bumi mengewap. Bentuk air yang wujud di udara ini dinamakan "wap air". Udara yang menghampiri tanah menjadi panas. Udara panas naik ke atas, dan ketika naik ia membawa wap air ke kedudukan yang lebih tinggi. Pada kedudukan yang tinggi ini, wap air di dalam udara panas bertembung udara sejuk dan seterusnya ia bertukar menjadi titik-titik air dan membentuk awan.
Air yang mengewap daripada lautan yang kaya dengan garam dan tasik-tasik yang mengandungi kandungan mineral yang tinggi membawa butir-butir garam ke atas ke satu kedudukan yang lebih tinggi. Butir-butir garam ini amat halus sehinggakan ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Angin yang membawa titisan-titisan ini mengumpulkan 27 juta tan garam sehari di dalam atmosfera. Garam-garam ini membentuk pusat titisan hujan.
Awan-awan kelihatan seperti kapas daripada Bumi. Kamu mungkin mendakwa ia tidak berat. Bagaimanapun, apabila kristal air ini bertukar menjadi hujan, kamu melihat bertan-tan air jatuh ke tanah. Satu awan hujan biasanya mengandungi 300,000 tan air. (Satu tan adalah sama dengan 1,000 kilogram (2,200 paun). 300,000 tan adalah 300 juta kilogram (660 juta paun). Jika kamu kira berat biasa seorang dewasa ialah kira-kira 60-70 kilogram (130-150 paun), kamu boleh lihat hebatnya kiraan ini) 300,000 tan bergantung di udara.
Allah menurunkan hujan daripada awan-awan gergasi ini untuk menghidupkan Bumi. Dengan ini, setiap inci Bumi ini akan menerima air yang mencukupi. Di dalam Al-Quran, Allah memberitahu kita bagaimana awan menyebabkan hujan:
Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya... (Surah An-Nuur:43)
Selain daripada itu, Allah menarik perhatian kita kepada ketulenan air yang diturunkan-Nya daripada langit:
… dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci. (Surah Al-Furqan:48)
Seperti yang disebutkan ayat di atas, hujan yang turun ke bumi adalah bersih dan suci. Ia termasuk juga sejumlah kecil garam dan mineral. Ini adalah nikmat Allah, kerana tanah menerima garam dan mineral yang diperlukannya daripada air hujan. Jika air mengewap daripada lautan mengandungi kadar garam yang tinggi, apabila ia jatuh ke tanah dalam bentuk hujan ia akan membahayakan hidupan di planet kita. Jika air hujan terlalu masin, ia akan mengeringkan tanah dan melayukan tumbuh-tumbuhan, yang menyebabkan kematian semua benda hidup. Ringkasnya, kehidupan di Bumi akan berakhir. Tetapi, ini tidak berlaku, kerana Allah mempunyai rahmat kepada manusia. Ini disebutkan di dalam Al-Quran:
Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan dia asin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur. (Surah Al-Waaqi'ah:68-70)
Penjelasan di dalam ayat di atas menjadikan ianya jelas bahawa Allah menjadikan semua benda di Bumi bersesuaian untuk hidup manusia.
Adik-adik, seperti yang kamu lihat, kita tidak mempunyai kuasa ke atas segala apa yang kita perlukan untuk hidup kita. Melainkan jika Allah menghendakinya, kita tidak akan dapat hidup di Bumi. Kerana itu, kita perlu sentiasa ingat bahawa Allah adalah Pencipta segalanya dan kita perlu sentiasa berterima kasih kepada-Nya.
Kita telah mempelajari bagaimana air di Bumi mengewap, bagaimana awan terbentuk dan menurunkan hujan. Sekarang, bagaimana jika kita belajar bagaimana hujan turun ke Bumi dalam ukuran yang tepat?
Sukatan Hujan
Hujan turun ke Bumi dalam sukatan tertentu. Sukatan ini hanya diketahui oleh penyelidikan terkini. Kiraan menunjukkan bahawa 16 juta tan air mengewap setiap saat. Dalam masa setahun, jumlah ini ialah 505 trilion tan. Sekali lagi, setiap tahun, 505 trilion hujan jatuh ke permukaan Bumi. Di dapati, jumlah ini adalah sama daripada satu tahun ke satu tahun. Fakta ini, yang baru sahaja di temui oleh ahli sains, telah digambarkan di dalam Al-Quran, yang turun 1,400 tahun dahulu:
Dan (Dia lah) yang menurunkan hujan dari menurut sukatan yang tertentu… (Surah Az-Zukhruf:11)
Adik-adik! Sungguh menakjubkan Allah merujuk kepada satu sukatan, atau jumlah, di mana Dia menurunkan air daripada langit, seperti mana yang telah ditemui bahawa sukatan hujan yang turun setiap tahun adalah sama. Di sini, keserasian ini amat menarik.
Pengewapan dan pemeluwapan (kondensasi) jumlah air seimbang seperti yang ditunjukkan di atas, iaitu "kitar semula air", mengekalkan kesinambungan hidupan di Bumi. Mengekalkan sukatan ini secara tiruan adalah mustahil, walaupun semua peralatan teknologi terkini digunakan.
Perubahan kecil di dalam kitaran semula air boleh menyebabkan ketidakseimbangan hebat di dalam alam semula jadi dalam masa yang singkat, ini bererti berakhirnya kehidupan. Bagaimanapun, ini tidak pernah terjadi; Permukaan Bumi sentiasa menerima jumlah hujan yang sama. Allah telah "menurunkan hujan dari menurut sukatan yang tertentu…"
Satu awan bersaiz biasa mengandungi 300,000 tan (300 juta kilogram, atau 660 juta paun) air. | Setiap tahun, 505 trilion tan air turun ke Bumi. Jumlah ini tidak berubah daripada satu tahun ke satu tahun lain. Ini adalah satu contoh bukti bahawa Allah menjadikan semua benda di dalam sukatan dan imbangan tepat. |
Sekarang kamu sudah faham bahawa Allah memegang sukatan penurunan hujan di bawah kawalan-Nya. Jika tidak, bagaimana mungkin adanya sukatan penurunan hujan yang sama di Bumi setiap tahun? Ini adalah mustahil. Allah adalah Tuhan seluruh alam, dan setiap sesuatu yang berlaku adalah dengan kehendak-Nya.
Sekarang kita akan mengubah perhatian kita kepada satu topik yang menarik, pelangi.
Pelangi Yang Berwarna-warni
Sudah tentu kamu pernah melihat pelangi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Jika tidak, mungkin kamu pernah melihat gambarnya di dalam buku atau televisyen. Pemandangan pelangi adalah amat menakjubkan, kerana warna-warna dan bentuknya yang mempesonakan. Pernahkah kamu terfikir bagaimana lengkungan berwarna-warni ini wujud? Jika tidak, biar kami beritahu kamu.
Pelangi muncul kadang kala apabila matahari muncul selepas hujan. Ia adalah satu lengkungan tujuh jalur warna yang tersusun. Pelangi kelihatan seperti sebuah mahkota dan ia mempunyai rupa yang menarik.
Pelangi sebenarnya adalah permainan cahaya. Ia mengandungi warna asas cahaya matahari. Sebenarnya sinaran putih matahari adalah pelbagai warna. Warna-warna yang datang daripada matahari ini dinamakan spektrum. Warna asas spektrum ialah merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo (biru tua) dan ungu. Warna putih cahaya matahari terbentuk apabila semua warna-warna ini dicantumkan. Apabila cahaya matahari melalui setitis air hujan, warna-warna yang membentuknya muncul. Kerana air membias atau memisahkan warna-warna cahaya. Warna-warna yang terpisah ini melalui titik hujan dan terbias ke merata arah.
Pelangi terbentuk apabila cahaya matahari berpecah kepada tujuh warna yang berbeza ketika melalui titisan-titisan hujan. Dilihat daripada angkasa, sebuah pelangi berbentuk bulat, tetapi kita hanya dapat melihat separuh bulatan ini. |
Adakah ia kelihatan rumit? Jika kamu fikir begitu, ambil satu kristal kaca dan pancarkan satu cahaya kuat melaluinya. Di sini, kaca dianggap sebagai titisan air hujan. Kamu akan lihat apabila kaca ini didedahkan kepada satu cahaya yang kuat, sejalur pelangi muncul di dinding.
Apabila memperkatakan tentang pelangi, kita sering melihatnya dalam bentuk separuh bulatan. Tetapi, ini tidak benar, kerana pelangi sebenarnya bulat. Tetapi mustahil untuk melihat keseluruhan bulatan ini dari bumi. Oleh itu, kita sering melihat pelangi separuh bulat. Hanya daripada kapal terbang kita dapat melihat pelangi sebagai satu bulatan.
Pusat bulan pelangi selalunya adalah titik yang bertentangan dengan matahari. Apabila matahari naik semakin tinggi, pelangi juga bergerak lebih tinggi untuk berada pada paras matahari.
Allah menjadikan pemandangan pelangi yang berwarna-warni dan mempesonakan ini supaya kita dapat menikmati keindahan Bumi, dan memikirkan kekuasaan dan sifat-sifat-Nya. Oleh itu, ia tidak memeranjatkan kita tetapi membuatkan kita menghargai lebih baik dan lebih mensyukuri-Nya.
Sekarang kita akan mengalih perhatian kita kepada satu lagi kegemilangan yang mempesonakan. Kali ini kita akan mengkaji satu objek angkasa yang kecil, bulan yang mempesonakan kita dengan keindahannya pada waktu malam.
Bulan Yang Menerangi Malam Kita
Bulan mirip sebiji bola besar yang mengelilingi Bumi kita. Pada waktu malam yang tidak berawan, bulan bersinar dengan indahnya di dalam kepekatan malam. Tetapi, bulan bukan sumber cahaya sebenar. Ciri-ciri bulan ini dirujuk di dalam al-Quran:
Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi. (Surah Al-Furqan:61)
Kita sering melihat bahagian bulan yang sama kerana ia berputar mengelilingi dirinya dan Bumi setiap dua puluh sembilan hari. Kerana jangka masa putaran kedua-duanya adalah sama, kita sering melihat bahagian bulan yang sama. Apabila kita melihat ke langit pada waktu malam, bulan kadang kala muncul dalam bentuk bulat dan kadang kala pula dalam bentuk separuh bulat. Ketika bulan berputar mengelilingi matahari, bahagian yang bercahaya berubah bentuk.
Bumi dan bulan saling menarik antara satu sama lain, tetapi kuasa graviti Bumi adalah enam kali lebih hebat daripada bulan. Walaupun begitu, graviti bulan mempengaruhi Bumi dan menyebabkan "pasang surut" dalam lautan dan laut. Perubahan biasa berlaku pada permukaan laut. Jika tarikan graviti bulan kuat, air pasang akan menyebabkan paras air naik dan jatuh dengan kerap. Dalam keadaan ini, kawasan-kawasan berhampiran lautan dan laut akan selalu banjir.
Tetapi, ketika air pasang, air selalunya naik pada paras sederhana kerana Allah telah "menyelaraskan" kuasa graviti bulan dan Bumi untuk melindungi kita daripada bencana.
Terdapat juga kawah-kawah dalam di permukaan Bumi. Kerana tidak mempunyai atmosfera seperti Bumi, bulan sering dilanggar meteor-meteor. |
Malam-Siang dan Musim-musim
Ketika berputar di atas paksinya, Bumi condong daripada orbitnya. Inilah yang menyebabkan berlakunya pembentukan empat musim; musim bunga, panas, luruh dan sejuk.
Tetapi, jika Allah menghendaki, Bumi kita ini dapat berada tegak pada orbitnya. Dengan itu tidak akan ada musim-musim. Suhu akan menjadi sama seluruh dunia. Daripada makanan yang kita makan dan udara yang kita hirup, gaya hidup kita dan persekitaran akan berubah sepenuhnya.
Adik-adik, pernahkah anda terfikir bagaimana malam dan siang berlaku? Angkasa sangat gelap. Tetapi, di Bumi, yang juga angkasa, terdapat perubahan di antara malam dan siang. Pada waktu pagi, kita bangun dengan cahaya matahari, tetapi apabila malam, ia menjadi gelap. Jadi, bagaimana pada pandangan kamu Bumi kita menjadi cerah pada waktu pagi?
Apabila Bumi berputar di atas orbitnya, ia juga berputar mengelilingi dirinya seperti gasing yang berputar. Apabila Bumi berputar mengelilingi dirinya, bahagian yang menghadap matahari menjadi terang.
Tidak seperti planet kita, Uranus berputar pada bahagiannya, seolah-olah planet itu jatuh. Ini menyebabkan planet ini berpusing mengelilingi matahari di dalam orbitnya seperti sebuah baldi. Khatulistiwa Uranus condong pada 98° sama dengan orbitnya, dengan itu setiap kutub sentiasa menghadap matahari pada bahagian setiap orbit. Uranus mengambil masa 84 tahun bumi untuk mengelilingi matahari! Oleh itu, setiap tahun pada satu masa, setiap kutub ini menerima cahaya matahari secara berterusan atau berada di dalam bayang sepanjang masa.
Apa akan berlaku jika waktu siang sepanjang masa pada satu bahagian Bumi dan malam pada bahagian yang lain? Jika ini berlaku, manusia tidak akan mempunyai masa tertentu untuk tidur. Setiap orang akan tidur atau bangun pada waktu yang berbeza. Akan berlaku banyak kekeliruan di dalam hubungan antara manusia.
Bumi condong kepada paksinya pada 23° 27'. Jika sudut ini tidak wujud, tidak akan ada musim-musim. |
Bayangkan kita hanya mempunyai waktu siang: Bolehkah kita tidur dengan nyenyak? Di samping itu, kita juga tidak dapat melihat bulan dan bintang-bintang yang hanya kelihatan di dalam kegelapan malam.
Sebaliknya, bagaimana jika kita sentiasa berada di dalam gelap? Pertama, kita tidak akan dapat melihat matahari, langit biru atau keindahan lain yang hanya dapat kita lihat pada siang hari. Tiada siapa tahu bagaimana waktu tidur kita atau jadual sekolah kita. Kita mungkin pergi ke sekolah di dalam kegelapan malam dan berehat di dalam gelap.
Yang lebih penting ialah tumbuh-tumbuhan yang memerlukan malam dan siang untuk hidup akan hilang dengan cepat. Kemungkinan, ini adalah penghujung kepada hidupan.
Tetapi, Allah telah menjadikan malam dan siang untuk memudahkan hidup kita. Dengan menjadikan malam dan siang, Dia telah mengatur hidup kita dengan baik. Tujuan penciptaan malam dan siang dinyatakan di dalam Al-Quran seperti berikut:
Dan Dialah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki. (Surah Al-Furqan:47)
Walaupun setiap hari banyak penemuan dan ciptaan dilakukan. Tetapi, tidak satu pun yang tidak pernah berlaku; iaitu, semuanya telah diilhamkan oleh benda atau hidupan yang telah sedia wujud dalam alam semula jadi. Ciptaan yang manakah dapat menjadikan Bumi ini berputar dan menyebabkan berlakunya malam dan siang? Tiada satu pun bukan? Hanya Tuhan kita, Pencipta langit, bumi dan semua yang di antaranya dapat melakukannya.
Seorang pengembara yang bergerak berterusan pada satu kelajuan ke Barat dengan kapal terbang akan sentiasa berada pada waktu siang kerana matahari tidak pernah terbenam. Jika Bumi tidak berputar di atas paksinya, kita tidak akan dapat berjumpa dengan malam, seperti pengembara di atas kapal terbang ini. |
Ingat, jika Allah dapat menjadikan malam dan siang, Dia juga dapat memindahkannya. Kemudian kita akan hidup dalam keadaan kacau bilau. Lagi pun, kita tidak akan wujud untuk membaca baris-baris ini. Di dalam Al-Quran, Allah memberitahu kita bahawa jika Dia berkehendak Dia boleh memanjangkan malam atau siang:
Katakanlah: "Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?" (Surah Al-Qasas:71)
Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)?" (Surah Al-Qasas:72)
Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa malam dan siang tidak akan wujud tanpa kehendak Allah. Alam ini dan segala yang ada di dalamnya adalah kepunyaan Allah, Pencipta.
Adik-adik; jangan lupa bahawa Allah Yang Maha Kuasa telah menjadikan kamu dengan sempurna dan segala yang kamu tahu dan dapat bayangkan.